KENANGAN MANIS
DI SUNGAI CHULEK
1.
SEJARAH SUNGAI
CHULEK
Tiga
bulan lalu kita dikejutkan dengan berita Sungai Kampar tidak dapat menampung
jumlah air yang mengalir deras turun dari Tanah Rata melalui Ulu Geruntum,
Lubuk Pulai, Pintu Padang, Jahang, Chulek, Gunung Panjang, Simpang Kobol, Jeram
dan Kuala Dipang hinggakan air banjir melimpah tebing mengakibatkan banjir
besar dibeberapa buah kampung berhampiran Kuala Dipang. Sepanjang ingatan saya, Sungai Kampar tidaklah
seganas itu kepada penduduk Kampung Chulek dan belum pernah berlaku bencana besar
sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa warga Chulek. Kalau ada pun hanya
sekadar meruntuhkan tebing yang mengakibatkan terhakisnya tanah dan
tenggelamnya kebun hinggakan kemusnahan tanaman terutamanya pokok durian yang
terkenal sangat sensitive kepada air banjir.
Pada saya, Sungei Kampar yang mengalir membelah Chulek menzahirkan
seribu satu kenangan manis dan indah yang tidak mungkin dapat dilupakan hingga
akhir hayat kerana saya dilahirkan dan membesar di situ sejak tahun 1948. Kewujudan
Sungai Kampar telah memberi kemudahan dan keselesaan kepada warga Chulek dalam
bentuk mendapatkan rezeki, mandi, membasuh hingga keperingkat melepaskan
makanan yang digemari ikan seluang dan lemasai.
Warga
Chulek yang diingati, sila izinkan ako menulis dan melopehkan perasaan tepondom
dalam bahaso Rao, biar teraso lobih mosro dengan suasano kekampongan serta
kekeluargaan. Maso ako kochik dolu, mochom-mochom cerito dongeng disobot
bertujuan menakut-nakutkan supayo jangan kami merayau main-main di sungai. Antaro yang ponah di sobut, air sungai godang
kerano nago nak turun mengilir sungai untuk mencari pasangan di Sungai Perak
melalui Sungai Kinta. Maso nago to lalu,
siop dongan bunyi loceng mocom gondang dan serunai Tarian Nago. Seingat ako, bolum ponah air sungai mengatasi
diatas paras titi, paling tinggi pun hanya setakat bawah bukit berhampiran
pokok kundang Ninek Soman dan kobun gotah Chi Nyin hanya paras peha. Rumah opah ako yang dibina
kira-kira tahun 1910 adalah tompek ako dilahirkan pun tak ponah air sampai.
Sungai
Kampar yang mengalir mombolah Kampong Chulek berpunca dari Cameron Highland
menyusuri Ulu Geruntum, Lubuk Pulai, Pintu Padang, Jahang, Chulek, Gunong
Panjang, Simpang Kobol, Jorom, Kuala Dipang, Malim Nawar dan botombong dengan
Sungei Kinta di Tanjung Tualang. Di
Chulek, beberapa pengkalan diujudkan untuk menyonangkan pogi ke sungai. Antaro
yang ako ingat Pengkalan/Sungai Pak Hindin, Nek Daud, Pokok Kundang Chi Nyin,
Titi, Opah/Aro, Sungai Torong, Pulau Jirat, Alang Sarijah, Tonit, Nek Isa dan
Tuan Pokeh/Sungai Mati. Tiap-tiap pengkalan ada penggunanya sendiri. Sungai
Opah yang dokek dongan rumah ako digunakan oleh keluarga ako, keluarga Abang
Sahar, Mak Chik Hindun, Mak Chik Lijah dan Mak Chik Bedah.
Mengikut
cerito Arwah Pak Bahak, titi Chulek dibina semasa beliau kecil berusia
kira-kira 10 tahun. Arwah Pak Bahak, Pak
Deraman, Mak Chik Hindun dan Omak ako yang dilahirkan pada tahun 1921 adalah
kawan sepermainan. Dengan itu, titi Sungai Chulek dibina kira-kira tahun 1930
oleh Tokey Chong Seng untuk mengangkut bijih timah menggunakan kereta lembu
dari Chulek ke Gopeng.
2. REZEKI
DARI SUNGAI CHULEK
Sungai
Kampar yang bersih dan jernih merupakan anugerah Allah S.W.T. kepada
kampong-kampung yang dilaluinya, malah menjadi sumber air untuk pump menembak tanah tebing lomong bijih timah
milik Syarikat Osborne & Chappel (sekarang Gopeng Berhad). Yang pasti,
warga Chulek dahulunya jarang-jarang pulang dengan tangan kosong apabila
menangkap ikan di sungai ini dengan cara yang ako sobutkan di bawah.
2.1.
Menebar Jala
Jala
panjang 6 kaki hingga 12 kaki yang berkandik digunakan dengan cara menebar di
tempat air cetek (dengkek) hingga ke air dalam kira-kira 5 kaki. Jika ditebar
ke dalam air yang lebih dalam seperti ke lubuk, belum sempat jala sampai ke
dasar sungei, ikan sudah lari kerana terbayang kedatangan jala, melainkan jika
kedaan air sungai keruh. Adakala aktiviti menjala ini dilakukan secara berkumpulan
dimana 2 atau 3 rawan jala ditebar serentak di tempat yan berhampiran agar ikan
tidak sempat lari.
2.2.
Meriding Bangkar atau Bumbun
Bangkar
atau rumpun buluh yang tergantung ditebing sungei atau yang telah tumbang ke
dalam sungai memang diminati oleh ikan untuk bermain dan menyuruk. Merinding
bermaksud menebar jala ke rumpun buluh atau tebu hutan (gelogah) dimana
sebahagian jala berada didarat dan sebahagian lagi berada di dalam air bagi
tujuan mengandang ikan daripada keluar dari rumpun itu. Jika rumpun buluh
besar, 2 atau 3 utas jala digunakan. Setelah pasti tidak ada ruang bagi ikan
melepaskan diri, barulah dikacau rumpun itu dengan menyucuk-nyucuk dengan
buluh. Kadang-kadang tuba atau ubat bijih digunakan. Ikan akan lari keluar dari
tempat sembunyinya dan tersangkut di jala. Cara merinding juga dipakai untuk
menangkap ikan dari tukun (bumbun) yang dibuat dari susunan kayu dan batu.
2.3.
Mengail Sorok
Bangkar
buluh, tebu hutan dan pangkal pokon kayu ara adalah tempat disukai oleh ikan
bermain. Kail (pancing) sorok sama sahaja bentuknya dengan kail biasa, cuma
joran kail hanya 1 – 2 kaki panjang dipachak pada gigi air atau di dalam air.
Mata kail berumpankan cacing diletakkan di celah-celah ranting kayu atau sampah
sarap yang tersangkut. Selalunya kail sorok dapat ikan keli, lonjing, baung,
belut. Ada kalanya, anak labi-labi pun terkena kail apabila memakan ikan ikan
keli yang sudah terkena kail.
2.4.
Memudiki
Pada
masa dahulu, dimusim kemarau air sungai sangat cetek (dengkek) kerana
sebahagian besar air sungai di Ulu Geruntum disalurkan ke dalam 3 buah paip
besar melalui Kampung Pintu Padang, Kampung Sungai Itek, Kampung Telintoh, Kg.
Rawa Baru dan menyeberangi jalanraya berhampiran Masjid Gopeng dan terus ke
pump lombong Osborne & Chappel (Gopeng Berhad). Waktu air cetek, batu akan
disusun seperti empangan merintangi sungai dalam bentuk seperti huruf ‘V’
terbalik. Dipunchak ‘V’ itu ditahan lukah dawai muncung menghala ke hilir.
Empat lima orang akan mengacau dengan membaling batu dan memukul air dengan buluh kira kira 200 meter dihilir empangan
sungai sambil berjalan hala ke hulu hingga ke empangan. Ikan akan lari ke hulu
(mudik) dan banyak juga ikan lemasai yang menyorokkan kepala dibawah batu
hingga mudah ditangkap dengan tangan. Ikan yang terus lari ke hulu akhirnya
masuk dan terperangkap ke dalam lukah dawai. Kepuasan disina bukan sahaja dapat
menangkap ikan yang banyak tetapi semasa meneropong nampak kecantikan ikan
berenang semuanya menghala ke hulu menentang arus yang deras.
2.5.
Menuba Ikan
Aktiviti
menuba ikan samada menggunakan akar tuba, ubat bijih atau racun serangga cap tengkorak
adalah cara yang tidak baik dan harus dihentikan kerana kepupusan ikan tanpa
mengenal jenis dan saiz. Jika tuba dan ubat bijih digunakan, ikan menjadi mabuk
dan jika air bersih mengalir menggantikan air tuba, ikan akan pulih semula.
Ikan akan mati sekiranya air tenang
berterusan tanpa kedatangan air bersih.
Bagi racun serangga cap tengkorak, semua ikan kecil dan besar serta
udang akan mati tanpa meninggalkan benih.
2.6.
Memancing Ikan
Semasa
air sungai separuk keruh, ramai juga yang mengambil kesempatan memancing ikan
putih dari atas titi sungai Chulek. Aktiviti ini lebih merupakan rekreasi untuk mendapatkan keseronokan
bertarung dengan rentapan ikan. Jika air
jernih, memancing waktu malam selalunya lebih lumayan tangkapan tetapi selain
bertarung dengan ikan harus juga bertarung dengan nyamuk.
2.7.
Menembak Ikan
Sehingga
sekarang cara menembak dengan panah besi masih digunakan secara meluas, tetapi
telah beralih tempat dari sungei ke lombong bijih tinggal kerana ikan di sungai
semakin pupus akibat dari kerakusan manusia menangkap tanpa mengambilkira sais,
manakala ikan di lombong sukar ditangkap dan membiak hingga ke saiz sesuai
untuk dimakan. Cik Gu Suman dan Arwah Kuti mempunyai kemahiran yang tinggi
dalam bidang ini kerana kebolehan mereka menyelam lebih lama dari orang lain.
2.8.
Mengebom Ikan
Menangkap
ikan dengan cara ini adalah salah dari sisi undang kerana bom memecah batu yang
diletupkan adalah barang terkawal dan penggunaannya memerlukan lesen dan terhad
dikawasan kuari sahaja. Bom ini mengandungi bahan letupan seperti belachan
dengan sumbu terjulur keluar seperti merchun. Sebaik sahaja sumbu dinyalakan,
bom dibaling ke dalam lubuk terus meletup dan membunuh ikan yang ada disekitar
lingkungan 6 meter.
2.9.
Menangguk Ikan/Udang
Menanguk
adalah cara yang paling mudah untuk menangkap ikan kecil dan udang terutama
semasa air besar serta keruh. Masa ini anak ikan lemasai, seluang, lekap batu
akan hanyut ke tepi sungai dan berpaut pada daun dan rumput. Caranya adalah
dengan menghalakan muka tangguk ke daun gelogah, daun kayu dan rumput sambil di
goyang-goyang dan terus diangkat. Tangguk juga digunakan untuk menangkap ikan terobol,
lemasai dan malih yang mengompeh badan di benta/rumput bagi mengeluarkan telur dan
seterusnya membiak. Ikan sungai yang kecil bercampur udang sungguh enak dimasak pais dalam daun pisang
beserta daun kunyit atau pun dimasak lemak kuning bersama nanas.
Ako masih ingat belajar mengait tangguk menggunakan
bonang gulong cop sauh daripada Arwah Ninek Zainal Jantas, tempat ako belajar
mengaji Quran. Tangkai rotan kami ambil dari kobun gotah di belakang rumahnya
dan terus dibentuk dengan menambatnya ke pokok gotah dan dibiarkan selama 2
minggu, kemudian diikat dengan rotan membontok tangkai tangguk.
2.10.
Menangkap Labi-labi.
Orang
Asli dari Changkat Papan (dekat PLUS highway di hulu Gua Tempurung) selalu
turun ke Sungai Chulek untuk menangkap labi-labi terutama di sungai mati yang
tenang airnya. Mereka datang hanya membawa sekotak mancis, sekepul beras dan
sebilah besi panjang 6 kaki untuk menyucuk pasir. Apabila bunyi/rasa cucukan
itu terasa seperti terkena batang kayu lapuk, itu bermakna terkena pada
belakang labi-labi dan terus digali dan ditangkap. Api dihidupkan dicelah-celah
4 ketul batu sungai yang disusun menjadi tungku. Labi-labi ditelentangkan
hingga masak dan isinya dipindahkan ke dalam daun pisang. Tempurung belakang
labi-labi tadi digunakan pula sebagai periuk untuk masak nasi. ‘Makan ditepi
sungai memang menyelerakan, apatahlagi dengan lauk labi-labi panggang’, kata
Orang asli.
2.11.
Menangkap Katak
Sungai
chulek dahulunya bukan sahaja terkenal
dengan ikannya yang enak dan lazat tetapi juga terkenal dengan kataknya yang
besar dan menjadi buruan kaun China yang datang dari Gopeng. Pada malam hari
katak ini berada ditebing sungai sambil berbunyi dengan suara yang besar dan
garau. Menangkap katak dibuat pada sebelah malam bilamana katak tidak begitu
liar disebabkan matanya silau disuluh torchlight, dengan mudah ia dicekup menggunakan tangguk
atau serkup rama-rama.
2.12.
Menangkap Rama-rama.
Ketenangan,
kesunyian, kebersihan, kesejukan dan kejernihan Sungai Chulek membuatkan
persekitarannya diminati oleh rama-rama yang terbang secara berkumpulan dan
hinggap diatas batu-batu yang timbul ditengah sungai. Ramai juga warga Chulek
mengambil kesempatan ini dengan menangkap rama-rama terutamanya specis Raja
Brooke sebagai pendapatan tambahan.
3. SIAPA
PENGHUNI SUNGAI CHULEK ?
Pada masa dahulu, Sungai Chulek memang kaya dengan
ikan yang memang berasal dari sungai sendiri dan ditambah pula dengan ikan-ikan
yang berasal dari lombong dan kolam (ompang/tobek)) mengiliri parit masuk ke
dalam sungai. Kebanyakan ikan-ikan ini telah pupus dan amat sukar didapati
walaupun di sungai-sungai lain. Antara spices yang menghuni Sungai Chulek pada
masa dahulu adalah:-
Tongeh
Sebarau
Torobul
Lampam
Lemasai
Malih
Selimang
Belida
Seluang
Kopar
Lekap
Batu
Sepat
Puyu
Temakang
Kalus
Keli
Baung
Belut
Lonjing
Limbat
Haruan
Bujuk
Tutu
Tapah
Tongsan
Tongsan
Kepala Besar
Tongsan
Torobul
Udang
Lokan
Siput
Sedut
Labi-labi
Kura-kura
Biawak
Memberang
Katak
Buaya !!
Sungai
Chulek tidak pernah dihuni buaya, namun ‘buaya darat’ kadangkala berkeliaran
menyorok dalom somak di topi tobing mengintai orang mandi, buaya spesis ini
jinak dan tak berani nak terokom. Kadang-kadang ada juga buaya betina dan buaya
jantan ambil kesempatan bersembang/berjumpo di topi tobing sungai, sambil
membasuh kain, sambil menyolom minum air.
Untuk
makluman, pada masa itu belum ujud lagi ikan patin, ikan lampam jawa dan ikan
tilapia. Keujudan ikan tilapia hitam dan tilapia merah memang baik untuk
komersial, tetapi pembiakannya amat cepat hinggakan makanan asli sediaada di
dalam lombong/kolam kehabisan sebelum ikan ini membesar. Akibatnya, ikan ini
memakan ikan-ikan lain di kolam itu dan seterusnya memakan ikan tilapia sendiri
hingga pupus.
4.
KEMUDAHAN
DIPEROLEHI DARI SUNGAI
CHULEK.
Selain
dari hasil ikan, udang, siput dan lain-lain,
keujudan Sungai Chulek telah memberi bermacam-macam kemudahan dan
kesenangan kepada warga Chulek untuk menjalankan aktiviti harian.
4.1.
Mambasuh Kain.
Air
paip hanya sampai ke Chulek pada tahun 1967 atau 1968. Sobolom ito, air telago
ditimbo untok minom dan membasoh. Sotongah rumah ada telago sendiri, setongah
lagi bekongsi telago. Setongah telago ada kelubong dan borsih, setongah lagi
tadak kelubong dan kadang-kadang dihuni olek katak. Kerajaan ada membuat telago
untuk kegunaan ramai dipanggil ‘telago RIDA’ di dopan rumah Ami Tambi dan di
kanan rumah Arwah Bodul Bokar. Oleh kerana, kesukaran menggunakan telago, warga
Chulek lebih selesa membasuh kain ke sungai dengan caro memberus dan menghempas
kain pada batu. Sambil membasuh boleh
juga bersembang sambil mandi.
4.2.
Mengasah Pisau Getah
Sungai
juga digunakan sebagai tempat mengasah pisau gotah sambil mandi disamping
mengosok percikan gotah yang terlekat pada badan semasa menoreh. Selalunya
aktiviti ini dilakukan sementara menunggu gotah yang ditakong memboku. Maso
dolo, gotah dimasokkan ke dalom takong, di campor ubat (cuka) gotah dan dibiarkan
selamo 2 jom sampai boku. Dolu tadak ado kemudahan nak jual gotah cair. Setelah
boku, gotah tadi dipijak-pijak sampai lenyek dan dimasukkan ke mesin pelenyek,
kemudian ke mesin mencorak dan akhirnya di jemur beberapa hari hingga koring.
Gotah boku juga dikoringkan dan boleh dijual terus kepada peraih samada Arwah
Pak Bokar atau Arwah Mat Jawi.
4.3.
Batu Kubur
Jika
kita pergi ke Tanah Perkuburan Gunung Mesah, jangan lupa beri salam kepada
semua ahli kubur dan lihatlah betapa banyaknya batu hidup dipindahkan dari
Sungai Chulek dan disusun ke situ semata-mata untuk berzikir kepada ahli kubur.
Terdapat 3 saiz batu ditanah
perkuburan:-
Batu Besar
Lunjung - digunakan sebagai batu nesan dan ditulis nama
dan tarikh kematian simati. Batu ini biasanya dijunjung oleh Arwah Ripin Bisu
ke rumah Arwah Pak Sarip Yaboo untuk di ukir.
Batu Sederhana
Leper - disusun
4-5 tingkat di sekeliling kubur untuk meninggikan dan mencegah dari hakisan
tanah.
Batu Kecil Bulat - ditaburkan
diatas kubur yang akan berzikir untuk ahli kubur.
Disetiap
3 bilik mandi dirumah ako memang sentiasa ada batu sungai Chulek untuk
menggosok daki terutamanya ditapak kaki yang tebolah dan mengerutu. Batu untuk
bertuam selepas bersalin pun ada juga dalam simpanan.
4.4.
Mandi Safar
Pada
masa dahulu, mandi safar seolah-olah menjadi adat dan budaya orang Melayu tanpa
menyedari bahawa upacara itu adalah ikutan daripada amalan Agama Hindu. Orang
Chulek dan kampong-kampong disekitarannya akan berduyun-duyun pergi ke Sungai
Chulek dan Sungai Jahang membawa makanan untuk berkelah sambil mandi manda. Pernah
satu ketika kami mengikuti rombongan bas Cik Gu Mutalib, Gopeng untuk mandi
safar ke Tanjung Keling, Melaka.
4.5.
Melando (Mendulang) Bijih Timah.
Sungai
Chulek juga menjadi punca rezeki kepada pendulang bijih dan aktiviti mendulang ini
dipanggil ‘melando’. Masih terbayang dalam ingatan bagaimana Arwah Haji Latif
dan isteri mengorek tebing sungai sambil menghayun dulang dipermukaan air untuk
mendapatkan bijih timah. Apabila kesejukan, berehat sejenak sambil menghisap
rokok merah anggur (dunhill). Bagi Arwah Abang Sahar, Arwah Pak Bahak dan Pak
Buyong, mereka mendapatkan bijih dengan menggali dan menyelam ke dasar kepala
paip lumbung tinggal.
4.6.
Air Bah
Kesan
daripada air bah atau air sungai melimpahi tebing sekali sekala membuatkan
tanaman kontan seperti pisang, limau, kantan, rambutan dan durian begitu subur.
Pokok durian di Pulau milik ayah ako dan
Ustaz Omar sentiasa lebat dan berbuah setiap musim. Namun, malang
menimpa pada tahun 1985, bah sekali sekala yang selalunya memberi rahmat telah
bertukar menjadi bah kekal yang tidak dapat dibendung. Sungai Chulek menjadi
cetek (dengkek) dipenuhi pasir, air melimpah hingga menengelamkan kebun,
jerejak besi Titi Chulek boleh dicapai dengan tangan. Beratus-ratus pokok
durian dari Chulek hingga ke Kuala Dipang meranggeh (layu) dan terus mati.
Pokok durian tidak mendatangkan hasil lagi, hanya berguna untuk dibuat terompah
atau kayu api. Itu adalah harga yang dibayar oleh pekebun kepada PLUS akibat
daripada hakisan pasir lombong yang digali untuk menanam cerucuk di bekas
Lombong 53 dan tarahan bukit di seberang Gua Tempurung. Tidak lama lagi, sebuah Universiti Perubatan
akan didirikan berhampiran Gua Tempurung tetapi lokasi sebenar belum
dikenalpasti. Mudah-mudahan projek pembangunan ini tidak menjadi pisang berbuah
dua kali kerana diseberang sungai masih terdapat kebun Sibi, Arwah Pak Zainal,
Chi Nyin, Pak Sudin Kama, Salim, Hashim, Arwah Mak Chik Labu, Ninik Ismail
Jasanti, Jali hingga ke Batang Limau.
4.7.
Sisa Buangan
Sungai Chulek juga digunakan untuk
melupuskan sisa buangan seperti lumpur dari kolam ikan (ompang/tobek) Pak
Derani, Pak Zainal/Taib, Abang Sahar/Pak Duan, Pak Sudin Kama dan Pak Harun
Muat. Apabila sembelihan lembu dan kambing dilakukan, tali perut dan isi perut
dimasukkan kedalam bakul buluh (rago Hong Kong) untuk dibasuh di air deras. Isi
perut warga Chulek pun banyak dilepaskan ke dalam sungai sebagai makanan
sampingan ikan lemasai dan seluang. Masih diposut pun dah di ngap ikan seluang
kelaparan.
4.8.
Parit yang mengalir ke Sungai Chulek.
Terdapat
beberapa parit yang kekal berair dan yang berair semasa musim hujan mengalir ke
Sungai Chulek. Parit-parit ini bukan sahaja berfungsi mengalirkan air dari
kebun tetapi jua sebagai tempat ikan-ikan melarikan diri berlindung dari air
sungai yang tercemar oleh tuba atau racun. Parit-parit ini berlumpur dan tempat
habitat bagi siput sedut dan dokan. Enak sungguh siput sedut dimasak lomak
dengan keledek atau nanas tapi kenalah rendam 1-2 hari dalam baldi (ember)
untuk memuntahkan pasir. Jangan lupa
tutup baldi rapat-rapat, nanti menjalar siput ke merata rumah.
Kebanyakan
parit ini telah kering dan tertimbus, antaranya parit berhampiran rumah Arwah
Pak Hindin, parit melintasi kebun limau Arwah Ninek Tambi (Pak Sudin), Parit di
hilir titi berhampiran batu tiang titi yang runtuh, parit yang dahulunya
mengalir berhampiran rumah Arwah Ninek Narullah melalui rumah Arwah Pak Taib ke
rumah Pak Derani dan terus ke sungai, parit dari tepi madrasah melalui rumah
Arwah Mak Chik Upik dan rumah Arwah Hamid (Sitak) dan terus ke pangkalan Tuan
Pokeh (sekarang sungai mati). Di seberang sana sungai pula parit berhampiran
kebun SC Arwah Pak Basir, parit berhampiran rumah Sibi, parit dari ompang Pak
Derani ke Pulau Jirat, parit lumbung Choi Yooi terus ke kebut Arwah Pak Talib
(Salim) dan parit dari Gua Tempurung terus ke Batang Limau.
5. KENANGAN
MANIS DI SUNGAI
CHULEK
Banyak
sungguh kenangan suko duko, manis dan peristiwa melucukan yang ako lalui semaso
kocik yang ada kaitannya dengan sungai chulek. Namun banyak pula peristiwa itu
yang harus dipondom dan tidak boleh diluahkan kerana menampakkan perangai nakal
ako maso kocik.
5.1.
Berakit Di Sungai
Berakit
batang pisang dari titi ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, tempat titi gantung
terputus pada 17.10.2009 hingga mengorbankan 3 murid. Kami mendarat disekolah
ini, hanyutkan rakit dan naik bas Kinta
balik ke Gunung Mesah.
5.2. Perang
Tanah Liat
Membuat
2 pasukan untuk berperang secara membaling tanah liat di tebing sungai kebun
Opah Akob. Di seberang sungai kebun Arwah Ninek Isa (Arwah Ustaz Omar). Pisang
yang dah tua di tobang dan di porom dalam pasir, bila masak dimakan berkelah
beramai-ramai.
5.3.
Membaling Ular
Membaling
(Melogar) dengan batu sungai ular bolang kuning dan hitam yang suka tidur di
pokok buluh dan pokok kolopong yang terjuntai ke sungai.
5.4. Membaling
Buah Kabung
Apabila
Cina dari Gopeng dan Tiger Town datang mandi di Chulek, kami sambut kedatangan
mereka dengan menjuluk buah kabung di hulu kebun Chi Nyin dan mengheretnya ke
tempat cetek (dengkek). Batu sungai dibaling ke buah kabung itu hingga getahnya
mengalir ke hilir hingga amoi-amoi lari ke darat menggaru kegatalan.
5.5.
Bersantai Pada Bulan Ramadhan
Dalam
bulan puaso, ramai yang berkumpul di pokok kundang Chi Nyin main trup panching,
21, 3 daun dan terup koling. Tak kurang juga yang membawa bekalan mee Arwah Pak
Yahaya Pasembo.
Banyak
lagi peristiwa-peristiwa lain yang lucu dan mengelikan hati seperti:- Bergayut
seolah-olah tarzan pada pokok yang tumbang ke sungai.
Menjala ikan bersama ayah pada malam hari bilamana
ikan tidak nampak bayangan jala yang ditebar.
o
Lawan
bergayut di besi palang titi dan berpusing balik ke pangkal.
o
Menakutkan
lembu gembala Bengali yang sedang menarik kereta di atas titi.
o
Terjun
kepala dahulu dari atas titi ke sungai.
o
Main
suruk batu dimana orang yang menjumpai batu itu akan menyurukkan batu dan yang
lain pula terkial-kial menyelam mencari.
o
Menyakitkan
telinga kawan yang menyelam dengan mengetuk 2 ketul batu didalam air.
o
Berkelah
ditepi sungai dengan lauk ikan keli bakar dicelup dalam kuah santan mentah yang
bercampur bawang, asam limau dan cili api (cabai burong).
o
Mendapat
durian hanyut dari Jahang dan Kampong Tongah (Kampong Ninek Daud).
6. PENUTUP CERITA
Ako
dibosarkan begelumang pagi potang di Sungai Chulek. Makan dan Minum pun dari
air sungai. Walau pun sungai ikor kocik
dan pendek, tapi setiap kali ako balik ke kampong ianya sangat menenang,
menyayu dan memilukan kerana bermacam peristiwa pahit manis menyusuk kalbu
ekoran daripada seribu kenangan mengusik jiwa yang terbayang dan timbul semula.
Kehidupan berbudi daripada sungai membuatkan ako suko dan cinta pada sungai
hingga bila ada saja kesempatan ako tak lepaskan peluang menyusuri dan
menikmati keindahan sungai. Antara
sungai ternama yang pernah ako lawati adalah Sungai Thames di London, Sungai Nil yang mengalir dari Uganda / Habsah /
Sudan / Mesir, Sungai Rhine yang mengalir melalui Switzerland
/ Germany / Holland, Sungai Mekong mengalir
di China / Laos / Kampucha / Vietnam.
Sungai Maenam Chao Praya yang menengelamkan Bangkok 4 bulan lalu dan
Sungai Irrawadi di Rangoon. Menaiki gajah menyusuri sungai deras di Elephant
Farm, Chiangmai dan berakit dari Kiulu ke Tamparuli, Sabah sama rasanya seperti
bermandi di Sungai Chulek.
Rencana
ini sengaja ako tulih bagi mengingatkan generasi mudo Chulek betapa mustahak
dan berjaso Sungai Chulek kepada kehidupan kami maso dolu. Chulek ako
tinggalkan pada tahun 1969 kerana berpindak ke Gunong Mesah, dan pada 1971
berhijrah pula ke Kuala Lumpur mencari rezeki hinggalah sekarang. Tompek jatoh
lagi di konang, inikan pulo tompat ako dilahir dan dibosarkan. Inshallah, setiop hari rayo puaso ako tak mis
solat sunat Aidil Fitri di Chulek, kecuali semaso ako di luar nogori dan di
Sabah dari 1982 hingga 1989. Rayo lopeh
tekojot ako, solosai solat rayo datang hidangan satay, nasi himpit dan nasi
lomak – sodop sunggoh. Lopeh itu tak tolok lagi makan meehun sop dan kueh rayo
di rumah Mazidah.
Tahniah
ako ucapkan kepada Azahari, Tok Sidang. Dua tahun lopeh khutbah rayo kao agak
tersangkut-sangkut, tapi tahun lopeh bacaan kao lancar dan licin setaraf
khutbah imam masjid. Itu adalah berkat dari usaha gigih kao, ditambah pula
dengan bakat semulojadi warisan dari Arwah Pak Taib dan Arwah Ninek Mohd Noor.
Izinkan ako mengambil kesempatan ini mencadangkan agar kotok (kerantung/tabuh)
di madrasah terus kekal dipukul pada setiap waktu solat, walau pun pembesar
suara telah sediada. Usia kotok itu lebih tua dari usia ako dan kegunaannya
pada masa dulu meliputi pemberitahuan kematian, mula berpuasa dan berhari raya.
Persoalan
yang selalu ditimbulkan sekarang, berapa tahun usia Kampung Chulek dan siapa
kah yang mula-mula meneroka kampong ini? Satu usaha perlu dimulakan dari sekarang untuk
mendapat jawapan kepada soalan ini dengan mencungkil maklumat dan fakta
daripada orang-orang lama seperti Ninek Ismail Jasanti, Pak Riduan Narullah
(Pak Ochah), Pak Buyong Hj Omar, Cik Gu Abd Rahim Abu Bakar, Pak Zainal Abidin
Mohd Noor dan Saudara Hussin Mat Isa (Naraa Subong). Sebagai asas selidikan, maklumat yang tidak
dapat disahkan kesahihannya menyebut bahawa turutan Ketua Kampung Chulek
bermula daripada Imam Perang > Abu Bakar bin Imam Perang (Unyang Buyong
Ibrahim/Moin) > Abdul Rahman bin Abu Bakar (Ninek Buyong
Ibrahim/Moin) > Mohd Noor (Ayah Pak Taib) >
Dahalan bin Abdul Rahman (Ayah Pak Sahar) >
Zainal Abidin bin Jantas (Suami Kak Leha) >
Taib bin Mohd Noor (Ayah
Azahari) > Hussin bin Mat Isa (Ajok) dan Azahari bin
Taib.
Akhir
kata aku ingin memohon maaf kepada semua warga Chulek diatas apa juga kesilapan
dan kesalahan yang telah dilakukan sejak dari lahir hingga kini. Semua kesilapan itu tidak disengajakan dan
tidak terlintas langsung tujuan untuk memalu atau menyentuh perasaan pembaca.
Ianya hanyalah semata-mata bagi tujuan ilmiah dan rujukan kepada genarasi akan
datang agar dapat mereka mengetahui dan seterusnya mencintai alam semulajadi
yang dianugerahkan ALLAH S.W.T. kepada
penduduk Chulek. Pengunaan nama dan gelaran pada rencana ini semata-mata
bertujuan mezahirkan betapa rapat, erat dan mesranya hubungan kekeluargaan
diantara kita.
Sebagai
penulis rencano ako bertanggungjawab diatas segalo yang dinukilkan dan sentiaso
terbuko fikiran untuk menerimo apo juo komen
dan toguran membina dari kelian, silalah hubungi ako dialamat dan nombor
telepon di bawah. Pada awal puaso bulan Julai
kor ako tak dapat dihubungi kerano tadak ador di sikor, tapi Inshallah Hari Rayo Puaso pada Ogos kor
kita jumpo di Madrasah Chulek bertakbir dan solat sunat Aidil Fitri. Sekali
lagi ako akhiri rencana ini dengan ribuan maaf diatas segala kesalahan dan
memohon ampun kepada ALLAH S.W.T. diatas segala dosa kecil dan besar dari kecil
hingga meningkat ke usia 64 tahun pada Mei lepas.
Rancana ini ako tutup dengan ucapan terima
kasih kerana sudi membaca serta ako akhiri dengan kalimah Wabillah hi taufiq
walhidayah, wasalamualaikum warah matullah hi waba rakatuh.
Mohd Hanip Sulaiman,
116 Jalan E2/9,
Taman Ehsan,
Kepong,
52100 Kuala Lumpur.
Tel: 019-3312276 & 03-62744131
12.06.2012