Saturday, June 9, 2012

KENANGAN  MANIS  DI  SUNGAI  CHULEK

1.       SEJARAH  SUNGAI  CHULEK
          Tiga bulan lalu kita dikejutkan dengan berita Sungai Kampar tidak dapat menampung jumlah air yang mengalir deras turun dari Tanah Rata melalui Ulu Geruntum, Lubuk Pulai, Pintu Padang, Jahang, Chulek, Gunung Panjang, Simpang Kobol, Jeram dan Kuala Dipang hinggakan air banjir melimpah tebing mengakibatkan banjir besar dibeberapa buah kampung berhampiran Kuala Dipang.  Sepanjang ingatan saya, Sungai Kampar tidaklah seganas itu kepada penduduk Kampung Chulek dan belum pernah berlaku bencana besar sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa warga Chulek. Kalau ada pun hanya sekadar meruntuhkan tebing yang mengakibatkan terhakisnya tanah dan tenggelamnya kebun hinggakan kemusnahan tanaman terutamanya pokok durian yang terkenal sangat sensitive kepada air banjir.  Pada saya, Sungei Kampar yang mengalir membelah Chulek menzahirkan seribu satu kenangan manis dan indah yang tidak mungkin dapat dilupakan hingga akhir hayat kerana saya dilahirkan dan membesar di situ sejak tahun 1948. Kewujudan Sungai Kampar telah memberi kemudahan dan keselesaan kepada warga Chulek dalam bentuk mendapatkan rezeki, mandi, membasuh hingga keperingkat melepaskan makanan yang digemari ikan seluang dan lemasai.

          Warga Chulek yang diingati, sila izinkan ako menulis dan melopehkan perasaan tepondom dalam bahaso Rao, biar teraso lobih mosro dengan suasano kekampongan serta kekeluargaan. Maso ako kochik dolu, mochom-mochom cerito dongeng disobot bertujuan menakut-nakutkan supayo jangan kami merayau main-main di sungai.  Antaro yang ponah di sobut, air sungai godang kerano nago nak turun mengilir sungai untuk mencari pasangan di Sungai Perak melalui Sungai Kinta.  Maso nago to lalu, siop dongan bunyi loceng mocom gondang dan serunai Tarian Nago.  Seingat ako, bolum ponah air sungai mengatasi diatas paras titi, paling tinggi pun hanya setakat bawah bukit berhampiran pokok kundang Ninek Soman dan kobun gotah Chi Nyin  hanya paras peha. Rumah opah ako yang dibina kira-kira tahun 1910 adalah tompek ako dilahirkan pun tak ponah air sampai.

          Sungai Kampar yang mengalir mombolah Kampong Chulek berpunca dari Cameron Highland menyusuri Ulu Geruntum, Lubuk Pulai, Pintu Padang, Jahang, Chulek, Gunong Panjang, Simpang Kobol, Jorom, Kuala Dipang, Malim Nawar dan botombong dengan Sungei Kinta di Tanjung Tualang.  Di Chulek, beberapa pengkalan diujudkan untuk menyonangkan pogi ke sungai. Antaro yang ako ingat Pengkalan/Sungai Pak Hindin, Nek Daud, Pokok Kundang Chi Nyin, Titi, Opah/Aro, Sungai Torong, Pulau Jirat, Alang Sarijah, Tonit, Nek Isa dan Tuan Pokeh/Sungai Mati. Tiap-tiap pengkalan ada penggunanya sendiri. Sungai Opah yang dokek dongan rumah ako digunakan oleh keluarga ako, keluarga Abang Sahar, Mak Chik Hindun, Mak Chik Lijah dan Mak Chik Bedah.

           Mengikut cerito Arwah Pak Bahak, titi Chulek dibina semasa beliau kecil berusia kira-kira 10 tahun.  Arwah Pak Bahak, Pak Deraman, Mak Chik Hindun dan Omak ako yang dilahirkan pada tahun 1921 adalah kawan sepermainan. Dengan itu, titi Sungai Chulek dibina kira-kira tahun 1930 oleh Tokey Chong Seng untuk mengangkut bijih timah menggunakan kereta lembu dari Chulek ke Gopeng.

2.      REZEKI  DARI  SUNGAI  CHULEK

          Sungai Kampar yang bersih dan jernih merupakan anugerah Allah S.W.T. kepada kampong-kampung yang dilaluinya, malah menjadi sumber air untuk  pump menembak tanah tebing lomong bijih timah milik Syarikat Osborne & Chappel (sekarang Gopeng Berhad). Yang pasti, warga Chulek dahulunya jarang-jarang pulang dengan tangan kosong apabila menangkap ikan di sungai ini dengan cara yang ako sobutkan di bawah.

2.1.            Menebar Jala
          Jala panjang 6 kaki hingga 12 kaki yang berkandik digunakan dengan cara menebar di tempat air cetek (dengkek) hingga ke air dalam kira-kira 5 kaki. Jika ditebar ke dalam air yang lebih dalam seperti ke lubuk, belum sempat jala sampai ke dasar sungei, ikan sudah lari kerana terbayang kedatangan jala, melainkan jika kedaan air sungai keruh. Adakala aktiviti menjala ini dilakukan secara berkumpulan dimana 2 atau 3 rawan jala ditebar serentak di tempat yan berhampiran agar ikan tidak sempat lari.

2.2.            Meriding Bangkar atau Bumbun

          Bangkar atau rumpun buluh yang tergantung ditebing sungei atau yang telah tumbang ke dalam sungai memang diminati oleh ikan untuk bermain dan menyuruk. Merinding bermaksud menebar jala ke rumpun buluh atau tebu hutan (gelogah) dimana sebahagian jala berada didarat dan sebahagian lagi berada di dalam air bagi tujuan mengandang ikan daripada keluar dari rumpun itu. Jika rumpun buluh besar, 2 atau 3 utas jala digunakan. Setelah pasti tidak ada ruang bagi ikan melepaskan diri, barulah dikacau rumpun itu dengan menyucuk-nyucuk dengan buluh. Kadang-kadang tuba atau ubat bijih digunakan. Ikan akan lari keluar dari tempat sembunyinya dan tersangkut di jala. Cara merinding juga dipakai untuk menangkap ikan dari tukun (bumbun) yang dibuat dari susunan kayu dan batu.

2.3.            Mengail Sorok
          Bangkar buluh, tebu hutan dan pangkal pokon kayu ara adalah tempat disukai oleh ikan bermain. Kail (pancing) sorok sama sahaja bentuknya dengan kail biasa, cuma joran kail hanya 1 – 2 kaki panjang dipachak pada gigi air atau di dalam air. Mata kail berumpankan cacing diletakkan di celah-celah ranting kayu atau sampah sarap yang tersangkut. Selalunya kail sorok dapat ikan keli, lonjing, baung, belut. Ada kalanya, anak labi-labi pun terkena kail apabila memakan ikan ikan keli yang sudah terkena kail.

2.4.            Memudiki
          Pada masa dahulu, dimusim kemarau air sungai sangat cetek (dengkek) kerana sebahagian besar air sungai di Ulu Geruntum disalurkan ke dalam 3 buah paip besar melalui Kampung Pintu Padang, Kampung Sungai Itek, Kampung Telintoh, Kg. Rawa Baru dan menyeberangi jalanraya berhampiran Masjid Gopeng dan terus ke pump lombong Osborne & Chappel (Gopeng Berhad). Waktu air cetek, batu akan disusun seperti empangan merintangi sungai dalam bentuk seperti huruf ‘V’ terbalik. Dipunchak ‘V’ itu ditahan lukah dawai muncung menghala ke hilir. Empat lima orang akan mengacau dengan membaling batu dan memukul air  dengan buluh kira kira 200 meter dihilir empangan sungai sambil berjalan hala ke hulu hingga ke empangan. Ikan akan lari ke hulu (mudik) dan banyak juga ikan lemasai yang menyorokkan kepala dibawah batu hingga mudah ditangkap dengan tangan. Ikan yang terus lari ke hulu akhirnya masuk dan terperangkap ke dalam lukah dawai. Kepuasan disina bukan sahaja dapat menangkap ikan yang banyak tetapi semasa meneropong nampak kecantikan ikan berenang semuanya menghala ke hulu menentang arus yang deras.

2.5.            Menuba Ikan
          Aktiviti menuba ikan samada menggunakan akar tuba, ubat bijih atau racun serangga cap tengkorak adalah cara yang tidak baik dan harus dihentikan kerana kepupusan ikan tanpa mengenal jenis dan saiz. Jika tuba dan ubat bijih digunakan, ikan menjadi mabuk dan jika air bersih mengalir menggantikan air tuba, ikan akan pulih semula. Ikan akan mati  sekiranya air tenang berterusan tanpa kedatangan air bersih.  Bagi racun serangga cap tengkorak, semua ikan kecil dan besar serta udang akan mati tanpa meninggalkan benih.

2.6.            Memancing Ikan
          Semasa air sungai separuk keruh, ramai juga yang mengambil kesempatan memancing ikan putih dari atas titi sungai Chulek. Aktiviti ini lebih merupakan  rekreasi untuk mendapatkan keseronokan bertarung dengan rentapan ikan.  Jika air jernih, memancing waktu malam selalunya lebih lumayan tangkapan tetapi selain bertarung dengan ikan harus juga bertarung dengan nyamuk.

2.7.            Menembak Ikan
          Sehingga sekarang cara menembak dengan panah besi masih digunakan secara meluas, tetapi telah beralih tempat dari sungei ke lombong bijih tinggal kerana ikan di sungai semakin pupus akibat dari kerakusan manusia menangkap tanpa mengambilkira sais, manakala ikan di lombong sukar ditangkap dan membiak hingga ke saiz sesuai untuk dimakan. Cik Gu Suman dan Arwah Kuti mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang ini kerana kebolehan mereka menyelam lebih lama dari orang lain.

2.8.            Mengebom Ikan
          Menangkap ikan dengan cara ini adalah salah dari sisi undang kerana bom memecah batu yang diletupkan adalah barang terkawal dan penggunaannya memerlukan lesen dan terhad dikawasan kuari sahaja. Bom ini mengandungi bahan letupan seperti belachan dengan sumbu terjulur keluar seperti merchun. Sebaik sahaja sumbu dinyalakan, bom dibaling ke dalam lubuk terus meletup dan membunuh ikan yang ada disekitar lingkungan 6 meter.

2.9.            Menangguk Ikan/Udang
          Menanguk adalah cara yang paling mudah untuk menangkap ikan kecil dan udang terutama semasa air besar serta keruh. Masa ini anak ikan lemasai, seluang, lekap batu akan hanyut ke tepi sungai dan berpaut pada daun dan rumput. Caranya adalah dengan menghalakan muka tangguk ke daun gelogah, daun kayu dan rumput sambil di goyang-goyang dan terus diangkat.  Tangguk juga digunakan untuk menangkap ikan terobol, lemasai dan malih yang mengompeh badan di benta/rumput bagi mengeluarkan telur dan seterusnya membiak. Ikan sungai yang kecil bercampur udang  sungguh enak dimasak pais dalam daun pisang beserta daun kunyit atau pun dimasak lemak kuning bersama nanas.
Ako masih ingat belajar mengait tangguk menggunakan bonang gulong cop sauh daripada Arwah Ninek Zainal Jantas, tempat ako belajar mengaji Quran. Tangkai rotan kami ambil dari kobun gotah di belakang rumahnya dan terus dibentuk dengan menambatnya ke pokok gotah dan dibiarkan selama 2 minggu, kemudian diikat dengan rotan membontok tangkai tangguk.

2.10.        Menangkap Labi-labi.
          Orang Asli dari Changkat Papan (dekat PLUS highway di hulu Gua Tempurung) selalu turun ke Sungai Chulek untuk menangkap labi-labi terutama di sungai mati yang tenang airnya. Mereka datang hanya membawa sekotak mancis, sekepul beras dan sebilah besi panjang 6 kaki untuk menyucuk pasir. Apabila bunyi/rasa cucukan itu terasa seperti terkena batang kayu lapuk, itu bermakna terkena pada belakang labi-labi dan terus digali dan ditangkap. Api dihidupkan dicelah-celah 4 ketul batu sungai yang disusun menjadi tungku. Labi-labi ditelentangkan hingga masak dan isinya dipindahkan ke dalam daun pisang. Tempurung belakang labi-labi tadi digunakan pula sebagai periuk untuk masak nasi. ‘Makan ditepi sungai memang menyelerakan, apatahlagi dengan lauk labi-labi panggang’, kata Orang asli.

2.11.        Menangkap Katak

          Sungai chulek  dahulunya bukan sahaja terkenal dengan ikannya yang enak dan lazat tetapi juga terkenal dengan kataknya yang besar dan menjadi buruan kaun China yang datang dari Gopeng. Pada malam hari katak ini berada ditebing sungai sambil berbunyi dengan suara yang besar dan garau. Menangkap katak dibuat pada sebelah malam bilamana katak tidak begitu liar disebabkan matanya silau disuluh torchlight,  dengan mudah ia dicekup menggunakan tangguk atau serkup rama-rama.

2.12.        Menangkap Rama-rama.
          Ketenangan, kesunyian, kebersihan, kesejukan dan kejernihan Sungai Chulek membuatkan persekitarannya diminati oleh rama-rama yang terbang secara berkumpulan dan hinggap diatas batu-batu yang timbul ditengah sungai. Ramai juga warga Chulek mengambil kesempatan ini dengan menangkap rama-rama terutamanya specis Raja Brooke sebagai pendapatan tambahan.

3.      SIAPA  PENGHUNI  SUNGAI  CHULEK ?

Pada masa dahulu, Sungai Chulek memang kaya dengan ikan yang memang berasal dari sungai sendiri dan ditambah pula dengan ikan-ikan yang berasal dari lombong dan kolam (ompang/tobek)) mengiliri parit masuk ke dalam sungai. Kebanyakan ikan-ikan ini telah pupus dan amat sukar didapati walaupun di sungai-sungai lain. Antara spices yang menghuni Sungai Chulek pada masa dahulu adalah:-

Tongeh
Sebarau
Torobul
Lampam
Lemasai
Malih
Selimang
Belida
Seluang
Kopar
Lekap Batu
Sepat
Puyu
Temakang
Kalus
Keli
Baung
Belut
Lonjing
Limbat
Haruan
Bujuk
Tutu
Tapah
Tongsan
Tongsan Kepala Besar
Tongsan Torobul
Udang
Lokan
Siput Sedut
Labi-labi
Kura-kura
Biawak
Memberang
Katak

Buaya !!

          Sungai Chulek tidak pernah dihuni buaya, namun ‘buaya darat’ kadangkala berkeliaran menyorok dalom somak di topi tobing mengintai orang mandi, buaya spesis ini jinak dan tak berani nak terokom.  Kadang-kadang ada juga buaya betina dan buaya jantan ambil kesempatan bersembang/berjumpo di topi tobing sungai,  sambil  membasuh kain, sambil menyolom minum air.

          Untuk makluman, pada masa itu belum ujud lagi ikan patin, ikan lampam jawa dan ikan tilapia. Keujudan ikan tilapia hitam dan tilapia merah memang baik untuk komersial, tetapi pembiakannya amat cepat hinggakan makanan asli sediaada di dalam lombong/kolam kehabisan sebelum ikan ini membesar. Akibatnya, ikan ini memakan ikan-ikan lain di kolam itu dan seterusnya memakan ikan tilapia sendiri hingga pupus.

4.      KEMUDAHAN  DIPEROLEHI  DARI  SUNGAI  CHULEK.

          Selain dari hasil ikan, udang, siput dan lain-lain,  keujudan Sungai Chulek telah memberi bermacam-macam kemudahan dan kesenangan kepada warga Chulek untuk menjalankan aktiviti harian.

4.1.            Mambasuh Kain.
          Air paip hanya sampai ke Chulek pada tahun 1967 atau 1968. Sobolom ito, air telago ditimbo untok minom dan membasoh. Sotongah rumah ada telago sendiri, setongah lagi bekongsi telago. Setongah telago ada kelubong dan borsih, setongah lagi tadak kelubong dan kadang-kadang dihuni olek katak. Kerajaan ada membuat telago untuk kegunaan ramai dipanggil ‘telago RIDA’ di dopan rumah Ami Tambi dan di kanan rumah Arwah Bodul Bokar. Oleh kerana, kesukaran menggunakan telago, warga Chulek lebih selesa membasuh kain ke sungai dengan caro memberus dan menghempas kain pada batu.  Sambil membasuh boleh juga bersembang sambil mandi.

4.2.            Mengasah Pisau Getah
          Sungai juga digunakan sebagai tempat mengasah pisau gotah sambil mandi disamping mengosok percikan gotah yang terlekat pada badan semasa menoreh. Selalunya aktiviti ini dilakukan sementara menunggu gotah yang ditakong memboku. Maso dolo, gotah dimasokkan ke dalom takong, di campor ubat (cuka) gotah dan dibiarkan selamo 2 jom sampai boku. Dolu tadak ado kemudahan nak jual gotah cair. Setelah boku, gotah tadi dipijak-pijak sampai lenyek dan dimasukkan ke mesin pelenyek, kemudian ke mesin mencorak dan akhirnya di jemur beberapa hari hingga koring. Gotah boku juga dikoringkan dan boleh dijual terus kepada peraih samada Arwah Pak Bokar atau Arwah Mat Jawi.

4.3.            Batu Kubur
          Jika kita pergi ke Tanah Perkuburan Gunung Mesah, jangan lupa beri salam kepada semua ahli kubur dan lihatlah betapa banyaknya batu hidup dipindahkan dari Sungai Chulek dan disusun ke situ semata-mata untuk berzikir kepada ahli kubur.  Terdapat 3 saiz batu ditanah perkuburan:-

Batu Besar Lunjung   -   digunakan sebagai batu nesan dan ditulis nama dan tarikh kematian simati. Batu ini biasanya dijunjung oleh Arwah Ripin Bisu ke rumah Arwah Pak Sarip Yaboo untuk di ukir.

Batu Sederhana Leper   -    disusun 4-5 tingkat di sekeliling kubur untuk meninggikan dan mencegah dari hakisan tanah.

Batu Kecil Bulat   -    ditaburkan diatas kubur yang akan berzikir untuk ahli kubur.

          Disetiap 3 bilik mandi dirumah ako memang sentiasa ada batu sungai Chulek untuk menggosok daki terutamanya ditapak kaki yang tebolah dan mengerutu. Batu untuk bertuam selepas bersalin pun ada juga dalam simpanan.

4.4.            Mandi Safar
          Pada masa dahulu, mandi safar seolah-olah menjadi adat dan budaya orang Melayu tanpa menyedari bahawa upacara itu adalah ikutan daripada amalan Agama Hindu. Orang Chulek dan kampong-kampong disekitarannya akan berduyun-duyun pergi ke Sungai Chulek dan Sungai Jahang membawa makanan untuk berkelah sambil mandi manda. Pernah satu ketika kami mengikuti rombongan bas Cik Gu Mutalib, Gopeng untuk mandi safar ke Tanjung Keling, Melaka.

4.5.            Melando (Mendulang) Bijih Timah.
          Sungai Chulek juga menjadi punca rezeki kepada pendulang bijih dan aktiviti mendulang ini dipanggil ‘melando’. Masih terbayang dalam ingatan bagaimana Arwah Haji Latif dan isteri mengorek tebing sungai sambil menghayun dulang dipermukaan air untuk mendapatkan bijih timah. Apabila kesejukan, berehat sejenak sambil menghisap rokok merah anggur (dunhill). Bagi Arwah Abang Sahar, Arwah Pak Bahak dan Pak Buyong, mereka mendapatkan bijih dengan menggali dan menyelam ke dasar kepala paip lumbung tinggal.

4.6.            Air Bah
          Kesan daripada air bah atau air sungai melimpahi tebing sekali sekala membuatkan tanaman kontan seperti pisang, limau, kantan, rambutan dan durian begitu subur. Pokok durian di Pulau milik ayah ako dan  Ustaz Omar sentiasa lebat dan berbuah setiap musim. Namun, malang menimpa pada tahun 1985, bah sekali sekala yang selalunya memberi rahmat telah bertukar menjadi bah kekal yang tidak dapat dibendung. Sungai Chulek menjadi cetek (dengkek) dipenuhi pasir, air melimpah hingga menengelamkan kebun, jerejak besi Titi Chulek boleh dicapai dengan tangan. Beratus-ratus pokok durian dari Chulek hingga ke Kuala Dipang meranggeh (layu) dan terus mati. Pokok durian tidak mendatangkan hasil lagi, hanya berguna untuk dibuat terompah atau kayu api. Itu adalah harga yang dibayar oleh pekebun kepada PLUS akibat daripada hakisan pasir lombong yang digali untuk menanam cerucuk di bekas Lombong 53 dan tarahan bukit di seberang Gua Tempurung.  Tidak lama lagi, sebuah Universiti Perubatan akan didirikan berhampiran Gua Tempurung tetapi lokasi sebenar belum dikenalpasti. Mudah-mudahan projek pembangunan ini tidak menjadi pisang berbuah dua kali kerana diseberang sungai masih terdapat kebun Sibi, Arwah Pak Zainal, Chi Nyin, Pak Sudin Kama, Salim, Hashim, Arwah Mak Chik Labu, Ninik Ismail Jasanti, Jali hingga ke Batang Limau.

4.7.            Sisa Buangan
           Sungai Chulek juga digunakan untuk melupuskan sisa buangan seperti lumpur dari kolam ikan (ompang/tobek) Pak Derani, Pak Zainal/Taib, Abang Sahar/Pak Duan, Pak Sudin Kama dan Pak Harun Muat. Apabila sembelihan lembu dan kambing dilakukan, tali perut dan isi perut dimasukkan kedalam bakul buluh (rago Hong Kong) untuk dibasuh di air deras. Isi perut warga Chulek pun banyak dilepaskan ke dalam sungai sebagai makanan sampingan ikan lemasai dan seluang. Masih diposut pun dah di ngap ikan seluang kelaparan.

4.8.            Parit yang mengalir ke Sungai Chulek.
          Terdapat beberapa parit yang kekal berair dan yang berair semasa musim hujan mengalir ke Sungai Chulek. Parit-parit ini bukan sahaja berfungsi mengalirkan air dari kebun tetapi jua sebagai tempat ikan-ikan melarikan diri berlindung dari air sungai yang tercemar oleh tuba atau racun. Parit-parit ini berlumpur dan tempat habitat bagi siput sedut dan dokan. Enak sungguh siput sedut dimasak lomak dengan keledek atau nanas tapi kenalah rendam 1-2 hari dalam baldi (ember) untuk memuntahkan pasir.  Jangan lupa tutup baldi rapat-rapat, nanti menjalar siput ke merata rumah.

          Kebanyakan parit ini telah kering dan tertimbus, antaranya parit berhampiran rumah Arwah Pak Hindin, parit melintasi kebun limau Arwah Ninek Tambi (Pak Sudin), Parit di hilir titi berhampiran batu tiang titi yang runtuh, parit yang dahulunya mengalir berhampiran rumah Arwah Ninek Narullah melalui rumah Arwah Pak Taib ke rumah Pak Derani dan terus ke sungai, parit dari tepi madrasah melalui rumah Arwah Mak Chik Upik dan rumah Arwah Hamid (Sitak) dan terus ke pangkalan Tuan Pokeh (sekarang sungai mati). Di seberang sana sungai pula parit berhampiran kebun SC Arwah Pak Basir, parit berhampiran rumah Sibi, parit dari ompang Pak Derani ke Pulau Jirat, parit lumbung Choi Yooi terus ke kebut Arwah Pak Talib (Salim) dan parit dari Gua Tempurung terus ke Batang Limau.

5.      KENANGAN  MANIS  DI  SUNGAI  CHULEK
          Banyak sungguh kenangan suko duko, manis dan peristiwa melucukan yang ako lalui semaso kocik yang ada kaitannya dengan sungai chulek. Namun banyak pula peristiwa itu yang harus dipondom dan tidak boleh diluahkan kerana menampakkan perangai nakal ako maso kocik.

 5.1.      Berakit Di Sungai

          Berakit batang pisang dari titi ke Sekolah Kebangsaan Kuala Dipang, tempat titi gantung terputus pada 17.10.2009 hingga mengorbankan 3 murid. Kami mendarat disekolah ini, hanyutkan rakit  dan naik bas Kinta balik ke Gunung Mesah.

 5.2.      Perang Tanah Liat
          Membuat 2 pasukan untuk berperang secara membaling tanah liat di tebing sungai kebun Opah Akob. Di seberang sungai kebun Arwah Ninek Isa (Arwah Ustaz Omar). Pisang yang dah tua di tobang dan di porom dalam pasir, bila masak dimakan berkelah beramai-ramai.

 5.3.     Membaling Ular
          Membaling (Melogar) dengan batu sungai ular bolang kuning dan hitam yang suka tidur di pokok buluh dan pokok kolopong yang terjuntai ke sungai.

5.4.      Membaling Buah Kabung
          Apabila Cina dari Gopeng dan Tiger Town datang mandi di Chulek, kami sambut kedatangan mereka dengan menjuluk buah kabung di hulu kebun Chi Nyin dan mengheretnya ke tempat cetek (dengkek). Batu sungai dibaling ke buah kabung itu hingga getahnya mengalir ke hilir hingga amoi-amoi lari ke darat menggaru kegatalan.

5.5.             Bersantai Pada  Bulan Ramadhan
          Dalam bulan puaso, ramai yang berkumpul di pokok kundang Chi Nyin main trup panching, 21, 3 daun dan terup koling. Tak kurang juga yang membawa bekalan mee Arwah Pak Yahaya Pasembo.  
     
          Banyak lagi peristiwa-peristiwa lain yang lucu dan mengelikan hati seperti:-    Bergayut seolah-olah tarzan pada pokok yang tumbang ke sungai.  
Menjala ikan bersama ayah pada malam hari bilamana ikan tidak nampak bayangan jala yang ditebar.

o   Lawan bergayut di besi palang titi dan berpusing balik ke pangkal.
o   Menakutkan lembu gembala Bengali yang sedang menarik kereta di atas titi.
o   Terjun kepala dahulu dari atas titi ke sungai.
o   Main suruk batu dimana orang yang menjumpai batu itu akan menyurukkan batu dan yang lain pula terkial-kial menyelam mencari.
o   Menyakitkan telinga kawan yang menyelam dengan mengetuk 2 ketul batu didalam  air.
o   Berkelah ditepi sungai dengan lauk ikan keli bakar dicelup dalam kuah santan mentah yang bercampur bawang, asam limau dan cili api (cabai burong).
o   Mendapat durian hanyut dari Jahang dan Kampong Tongah (Kampong Ninek Daud).

6.        PENUTUP   CERITA
          Ako dibosarkan begelumang pagi potang di Sungai Chulek. Makan dan Minum pun dari air sungai.  Walau pun sungai ikor kocik dan pendek, tapi setiap kali ako balik ke kampong ianya sangat menenang, menyayu dan memilukan kerana bermacam peristiwa pahit manis menyusuk kalbu ekoran daripada seribu kenangan mengusik jiwa yang terbayang dan timbul semula. Kehidupan berbudi daripada sungai membuatkan ako suko dan cinta pada sungai hingga bila ada saja kesempatan ako tak lepaskan peluang menyusuri dan menikmati keindahan sungai.  Antara sungai ternama yang pernah ako lawati adalah Sungai Thames di London,  Sungai Nil yang mengalir dari Uganda / Habsah / Sudan /  Mesir,  Sungai Rhine yang mengalir melalui Switzerland / Germany / Holland,  Sungai Mekong mengalir di China / Laos / Kampucha / Vietnam.  Sungai Maenam Chao Praya yang menengelamkan Bangkok 4 bulan lalu dan Sungai Irrawadi di Rangoon. Menaiki gajah menyusuri sungai deras di Elephant Farm, Chiangmai dan berakit dari Kiulu ke Tamparuli, Sabah sama rasanya seperti bermandi di Sungai Chulek.

          Rencana ini sengaja ako tulih bagi mengingatkan generasi mudo Chulek betapa mustahak dan berjaso Sungai Chulek kepada kehidupan kami maso dolu. Chulek ako tinggalkan pada tahun 1969 kerana berpindak ke Gunong Mesah, dan pada 1971 berhijrah pula ke Kuala Lumpur mencari rezeki hinggalah sekarang. Tompek jatoh lagi di konang, inikan pulo tompat ako dilahir dan dibosarkan.  Inshallah, setiop hari rayo puaso ako tak mis solat sunat Aidil Fitri di Chulek, kecuali semaso ako di luar nogori dan di Sabah dari 1982 hingga 1989.  Rayo lopeh tekojot ako, solosai solat rayo datang hidangan satay, nasi himpit dan nasi lomak – sodop sunggoh. Lopeh itu tak tolok lagi makan meehun sop dan kueh rayo di rumah Mazidah.

          Tahniah ako ucapkan kepada Azahari, Tok Sidang. Dua tahun lopeh khutbah rayo kao agak tersangkut-sangkut, tapi tahun lopeh bacaan kao lancar dan licin setaraf khutbah imam masjid. Itu adalah berkat dari usaha gigih kao, ditambah pula dengan bakat semulojadi warisan dari Arwah Pak Taib dan Arwah Ninek Mohd Noor. Izinkan ako mengambil kesempatan ini mencadangkan agar kotok (kerantung/tabuh) di madrasah terus kekal dipukul pada setiap waktu solat, walau pun pembesar suara telah sediada. Usia kotok itu lebih tua dari usia ako dan kegunaannya pada masa dulu meliputi pemberitahuan kematian, mula berpuasa dan berhari raya.

          Persoalan yang selalu ditimbulkan sekarang,   berapa tahun usia Kampung Chulek dan siapa kah yang mula-mula meneroka kampong ini?   Satu usaha perlu dimulakan dari sekarang untuk mendapat jawapan kepada soalan ini dengan mencungkil maklumat dan fakta daripada orang-orang lama seperti Ninek Ismail Jasanti, Pak Riduan Narullah (Pak Ochah), Pak Buyong Hj Omar, Cik Gu Abd Rahim Abu Bakar, Pak Zainal Abidin Mohd Noor dan Saudara Hussin Mat Isa (Naraa Subong).  Sebagai asas selidikan, maklumat yang tidak dapat disahkan kesahihannya menyebut bahawa turutan Ketua Kampung Chulek bermula daripada Imam Perang  >  Abu Bakar bin Imam Perang (Unyang Buyong Ibrahim/Moin)  >  Abdul Rahman bin Abu Bakar (Ninek Buyong Ibrahim/Moin)  >  Mohd Noor (Ayah Pak Taib)  >  Dahalan bin Abdul Rahman (Ayah Pak Sahar)  >  Zainal Abidin bin Jantas (Suami Kak Leha)  >  Taib bin Mohd Noor  (Ayah Azahari)  >  Hussin bin Mat Isa (Ajok) dan Azahari bin Taib.

          Akhir kata aku ingin memohon maaf kepada semua warga Chulek diatas apa juga kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan sejak dari lahir hingga kini.  Semua kesilapan itu tidak disengajakan dan tidak terlintas langsung tujuan untuk memalu atau menyentuh perasaan pembaca. Ianya hanyalah semata-mata bagi tujuan ilmiah dan rujukan kepada genarasi akan datang agar dapat mereka mengetahui dan seterusnya mencintai alam semulajadi yang dianugerahkan  ALLAH S.W.T. kepada penduduk Chulek. Pengunaan nama dan gelaran pada rencana ini semata-mata bertujuan mezahirkan betapa rapat, erat dan mesranya hubungan kekeluargaan diantara kita.

          Sebagai penulis rencano ako bertanggungjawab diatas segalo yang dinukilkan dan sentiaso terbuko fikiran untuk menerimo  apo juo komen dan toguran membina dari kelian, silalah hubungi ako dialamat dan nombor telepon di bawah.  Pada awal puaso bulan Julai kor ako tak dapat dihubungi kerano tadak ador di sikor,  tapi Inshallah Hari Rayo Puaso pada Ogos kor kita jumpo di Madrasah Chulek bertakbir dan solat sunat Aidil Fitri. Sekali lagi ako akhiri rencana ini dengan ribuan maaf diatas segala kesalahan dan memohon ampun kepada ALLAH S.W.T. diatas segala dosa kecil dan besar dari kecil hingga meningkat ke usia 64 tahun pada Mei lepas.

          Rancana ini ako tutup dengan ucapan terima kasih kerana sudi membaca serta ako akhiri dengan kalimah Wabillah hi taufiq walhidayah, wasalamualaikum warah matullah hi waba rakatuh.

Mohd Hanip Sulaiman,
116 Jalan E2/9,
Taman Ehsan,
Kepong,
52100 Kuala Lumpur.
Tel: 019-3312276 & 03-62744131
12.06.2012




4 comments:

  1. assalamualaikum empunya halaman..saya ingin bertanya..adakah keturunan ninik ismail jasanti yang masih tinggal di kg chulek..?..terima kaseh

    ReplyDelete
    Replies
    1. Masih ada.anak perempuannya.

      Delete
    2. keluarga saya berhutang budi yang tak terbalas pada keluarga itu..kerana memelihara 2 nenek saya ..moga satu hari nanti kami keturunannya dapat kesana dan berziarah

      Delete
    3. Saya dida anak ninik ismail jasanti. Blh hubungi saya di no. 017 5729770

      Delete